KUCHING, 6 Okt: Jawatankuasa ‘Road to Gold’ (RTG) ditubuhkan bagi mencungkil bakat sukan dalam kalangan generasi baharu yang menjadi pelapis sekali gus diharap berupaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, isu pelapis yang dilihat sebagai masalah ketara ini diteliti melalui pencapaian para atlet di sukan besar seperti Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu.
“’Road to Gold’ akan menyediakan rangka kerja jangka panjang dan pendek dengan memberikan fokus kepada Sukan Olimpik Paris 2024 dan Olimpik Los Angeles 2028.
“Antara fokus yang ingin kita lakukan ialah sudah mengenalpasti sukan yang diberi perhatian jika kita ingin cemerlang dalam pelbagai acara,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Dialog TVS bertajuk ‘Belia, Sukan di bawah Malaysia Madani’ yang disiarkan pada Khamis.
Acara sukan yang wajar diberi perhatian ialah renang dan olahraga.
‘Road to Gold’ dipengerusikan bersama oleh Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria.
Ujarnya lagi, dalam mengembangkan bakat pelapis, beliau memastikan agar bakat itu tidak hanya wujud dalam golongan T20 sahaja.
“Program intervensi seperti ini membuka kepada kanak-kanak golongan B40 untuk mempunyai kemahiran seperti berenang.
“Contoh lain adalah seperti sukan olahraga, jika di peringkat sekolah, kanak-kanak tidak mahu berlari kerana keadaan trek yang berlumpur namun berbeza dengan keadaan trek di stadium yang memberikan mereka semangat untuk bersukan,” katanya.
Di bawah jagaan kementeriannya, Stadium Bukit Jalil membenarkan golongan muda ini untuk menggunakan stadium secara percuma.
Strategi ini bukan sahaja dapat memberikan isnpirasi kepada mereka, malah mereka mampu memanfaatkan dana yang disalurkan dalam pembangunan stadium.
Hannah juga menyarankan semua pemilik stadium di seluruh Malaysia termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan agar membenarkan orang ramai menggunakan stadium untuk mengasah bakat. – TVS