KUCHING, 6 Okt: Kelab Bola Sepak Kuching City FC (KCFC) menerima tajaan berjumlah RM1 juta daripada Press Metal Aluminium Holdings Berhad dengan permeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak hari ini.
Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan langkah terbaik bagi syarikat swasta berkenaan untuk membantu membangunkan bola sepak di Sarawak.
Menurut beliau, KCFC bermula dari akar umbi sebagai sebuah kelab bola sepak tempatan dan berharap ia menjadi salah satu kelab bola sepak terkemuka pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Fazzrudin berkata KCFC amat memerlukan sokongan entiti swasta sepanjang perjalanannya dalam kancah bola sepak.
“Jadi sebab itu lah kita amat berterima kasih kepada Press Metal kerana faham tentang halatuju kami dan telah bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak satu juta ringgit kepada pasukan Kuching City FC.
“Jadi terima kasih sekali lagi kepada press metal yang dapat bersama-sama dengan kami untuk membangunkan komuniti dan juga kelab bolasepak Kuching City FC.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU dan penyampaian cek antara Press Metal Holdings Berhad dan Kuching City FC di Pejabat Setiausaha Politik, Jabatan Premier Sarawak, Kuching pada Jumaat.
Menerusi MoU berkenaan, logo Press Metal akan dipaparkan pada kit gelanggang dan tempat lawan KCFC untuk baki musim 2023, sebagai tanda sokongan kepada KCFC pada 2024.
Perjanjian itu juga termasuk papan pengiklanan serta logo Press Metal yang dipaparkan di saluran media Bandaraya Kuching.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Press Metal, Choa Wei Keong berkata kerjasama dengan KCFC adalah sebahagian daripada pendekatan syarikat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan bola sepak di Sarawak dan Malaysia.
“Jenama KCFC berkembang pesat dalam kalangan rakyat Sarawak dan mampu menangkap imaginasi peminat bola sepak.
“Kejayaan kelab dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah satu kebanggaan buat rakyat dan Press Metal. Kami teruja untuk menjadi rakan kongsi Kuching City dan optimis dengan pertumbuhan kelab dalam masa terdekat.
“Ketika kami melihat untuk mengembangkan jenama Press Metal, kami percaya melalui kerjasama ini, ia akan menawarkan kami penglihatan yang lebih besar melalui salah satu kelab yang paling disokong di Sarawak,” tambah Choa.
Hadir sama Timbalan Pengurus Besar Press Metal Aluminium Holdings Berhad, Low Kwong Fei dan Pengurus Jabatan Komunikasi dan Perhubungan Awam, Nina Melling, serta Ketua Pegawai Eksekutif KCFC Iswandi Ali Hassan dan wakil lembaga pengarah KCFC, Zainal Abidin Jali. -TVS