KUCHING, 6 Okt: Syarikat kecerdasan buatan (AI) yang bertapak di Sarawak, NEUON AI merangkul dua anugerah menerusi Anugerah Ekonomi Digital Sarawak (SDEA) 2023.
NEUON AI merangkul Anugerah Premier dan Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan dan Pengkomersialan.
Anugerah berkenaan disampaikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Makan Malam Gala sempena Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia (WCIT) dan Persidangan Antarabangsa Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) 2023 di sini, malam tadi.
Anugerah berkenaan diterima Ketua Pegawai Eksekutif NEUON AI, Dr Chai Kok Chin.
NEUON AI menerima Anugerah Premier atas sumbangan syarikat terhadap penerokaan landskap digital.
Ia diiktiraf kerana harta intelek AI, kemampanan kewangan dan pembangunan platform yang teguh dan berskala.
AI yang dibangunkan dan data besar syarikat berkenaan bertujuan menambah baik aspek penting infrastruktur Sarawak, seperti penyelenggaraan jalan raya dan keselamatan jalan raya.
Sebagai tambahan kepada Anugerah Perdana, NEUON AI merangkul Anugerah Penyelidikan & Pembangunan dan Pengkomersilan, seterusnya menyerlahkan kemajuan perintis syarikat dalam teknologi penglihatan automatik.
Platform AI yang dibangunkan dengan harga berpatutan, mesra pengguna dan berskala, mempunyai potensi untuk merevolusikan industri dan memupuk penglibatan komuniti.
Sementara itu, Hornbill Networks Consortium Sdn Bhd memenangi Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan dan Pengkomersialan menerusi projek Samariang Avenue.
Dalam pada itu, syarikat perkhidmatan dan sokongan IT, SiliconNet Technologies Sdn Bhd pula turut merangkul dua anugerah pada acara berprestij itu iaitu Anugerah Kepimpinan Digital menerusi inisiatif ‘Leading the Sarawak Digital Economy Initiative with Successful Implementation of SPayGlobal Throughout Sarawak’ dan Anugerah Transformasi Teknologi Digital menerusi inisiatif ‘Transforming Sarawak to a Cashless Payment Society’.
Anugerah Kelestarian Alam Sekitar pula dibawa pulang oleh Sinisana Technologies Sdn Bhd menerusi ‘World’s First Blockchain-Traceable Sustainable Pallet’, manakala Anugerah Kandungan Kreatif Digital pula dimenangi oleh MyContent Distribution Sdn Bhd menerusi TEBUS The Movie.
Jabatan Hutan Sarawak pula mencipta sejarah apabila merangkul Anugerah Kerajaan Digital menerusi ‘Sarawak Logs Tracking and Forest Revenue System (REVLOG) Enhancing Sarawak Timber Legality Verification System (STLVS) Towards Efficient Revenue Collection in Sarawak’.
Seterusnya, Anugerah Keterangkuman Digital telah dimenangi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2020-2025.
Majlis Anugerah SDEA 2023 menonjolkan komuniti teknologi yang berkembang maju di Sarawak.
Acara tahun ini menyaksikan peningkatan 32 peratus dalam penyertaan berbanding tahun sebelumnya dengan sejumlah 139 penyertaan diterima melalui sistem dalam talian yang dibangunkan khas untuk tujuan itu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 24 finalis dipilih untuk pusingan kedua penilaian yang melibatkan sesi ‘pitching’ selama lima minit diikuti dengan soalan daripada panel hakim. – TVS