KUCHING, 6 Okt: Mesin pengimbas generasi baharu dikenali sebagai ‘Dsonic Egate’ yang mampu mengesan sehingga 99.9 peratus ketepatan wajah mampu membantu Kerajaan Sarawak memperkasa keselamatan sempadan antara negeri ini dan Indonesia.
Berikutan itu syarikat penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi, Datasonic Group Bhd menawarkan bantuan sedemikian kepada Kerajaan Sarawak.
Ketua Pegawai Operasi Datasonic Innovation, C.Doshi berkata, mesin berkenaan boleh digunakan di dua Stesen Imigresen, Kastam, Kurantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan Sarawak dan Kalimantan Barat iaitu masing-masing di Kampung Sapit, Padawan dan Kampung Gumbang, Bau.
“Kerajaan Sarawak melakukan transformasi pendigitalan 2030 yang mana ia perlu bermula daripada perkhidmatan awam kerajaan.
“Mesin ini sebenarnya adalah untuk kegunaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) iaitu mereka sebenarnya hanya perlu meletakkan seorang pegawai untuk bertugas sekiranya mempunyai mesin ini.
“Sarawak boleh menggunakan mesin ini di sempadan dengan Kalimantan di mana pelawat dari Indonesia ke Malaysia atau pelawat dari Malaysia ke Indonesia boleh menggunakan mesin ini untuk mendapat pengesahan pasport dengan pantas dan efisien yang memudahkan mereka untuk bergerak masuk dan keluar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS di Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (WCIT | IDECS) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, mesin itu mampu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem keselamatan sempadan antara Sarawak dengan Kalimantan memandangkan wilayah itu bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia.
Selain itu, pihaknya turut menawarkan penggunaan mesin tersebut di lokasi pemeriksaan imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) bagi ketibaan pelawat dari semenanjung Malaysia.
“Kita mencadangkan agar mesin ini dipasang di lokasi pemeriksaan kemasukan pelawat dari semenanjung Malaysia yang datang ke Sarawak.
“Ini kerana, mereka yang masuk menggunakan kad pengenalan dan kemudiannya mendapat slip kemasukan yang mudah untuk hilang.
“Jadi menerusi mesin ini, di mana dari segi pendigitalan mereka masuk dengan memasukkan kad pengenalan dan seterusnya akan dapat slip yang dihantar ke telefon mereka seperti di e-mel.
Jelasnya, sebanyak 140 mesin telah dipasang melibatkan lokasi pemeriksaan imigresen di seluruh Malaysia sejak 2018. – TVS