KUCHING, 5 Okt: Bekas semi finalis Getaran Jiwa terbitan TVS, Mya Herry bakal melancarkan single baharunya berjudul Tak Apa esok.
Menurutnya, lagu berkonsep ‘healing’ dan ‘nature’ itu berkisar tentang ketenangan dan berkait dengan seseorang yang sudah pasrah dengan hubungan percintaan.
“Kebanyakan orang mesti akan melalui fasa putus cinta. Jadi saya berharap lagu ini mampu memberikan semangat kepada mereka yang galau akibat kecundang dalam percintaan,” katanya kepada TVS baru – baru ini.
Tambah Mya, lagu berkenaan amat berbeza dengan karyanya sebelum ini yang lebih menjurus kepada genre pop.
“Lagu ini lebih kepada pop balada,” katanya.
Ditanya pengalaman merakam lagu itu, Mya mengakui dia berdepan cabaran namun semua pengalaman itu diyakini akan mematangkan langkahnya dalam industri hiburan.
“Saya ingin mencuba semua genre kerana kita tidak tahu genre mana yang digemari para pendengar.
“Kita juga tidak boleh mengikut pilihan kita sendiri sahaja dan itu yang menyebabkan saya mahu bereksperimen untuk menentukan pilihan mana yang digemari.
“Lagu ini nadanya agak tinggi tetapi saya ingin membuktikan bahawa saya boleh menyanyikan lagu sedemikian,” katanya.
Penyanyi di bawah naungan Armani Entertainment ini juga berharap lagu ini akan mendapat sambutan ramai sekali gus menjadi platform mengukuhkan namanya.
Penyanyi bersuara lunak ini pernah muncul dengan lagu berjudul Semuanya Ada pada 2021 ciptaan dan terbitan Awi Rafael.
Pada tahun ini, Mya juga diberi peluang mewakili Malaysia dalam pertandingan nyanyian di Indonesia, D’Academy Asia 6. -TVS