KUCHING, 5 Okt: Semua jawatan dalam Majlis Jawatankuasa Tertinggi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) terbuka untuk dicabar pada pemilihan di Perhimpunan Agong Tritahunan SABERKAS ke-17, Disember depan.
Presidennya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana SABERKAS sentiasa memberikan peluang kepada setiap ahlinya.
Katanya, setiap ahli SABERKAS juga memahami terdapat jawatan tertentu perlu dibiarkan untuk tidak ditandingi.
“Ini merupakan semangat kekeluargaan yang ada dalam kalangan ahli SABERKAS sejak ditubuhkan 60 tahun yang lalu.
“Namun begitu untuk jawatan exco SABERKAS, saya percaya kita akan melihat pertandingan yang sengit kerana ramai pemimpin-pemimpin belia yang mahu berkhidmat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS ke-56 di sini hari ini.
Abdul Karim berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak dan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, SABERKAS terus mendapat penghormatan dan kepercayaan masyarakat apabila terdapat ahlinya terpilih sebagai calon.
Sementara itu, Setiauasaha Agong SABERKAS Safiee Ahmad berkata, semua cawangan SABERKAS dibenarkan untuk mengemukakan senarai calon mereka bagi merebut jawatan dalam Majlis Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS.
Katanya, pencalonan tersebut akan mendapat pertimbangan sewajarnya.
“Pencalonan itu kita buka untuk jawatan presiden hingga kepada exco,” katanya.
Perhimpunan Agong Tritahunan SABERKAS Sarawak akan berlangsung pada 4 hingga 6 Disember ini di Hotel Pullman Kuching. -TVS