Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dona Drury-Wee menunjukkan poster Persidangan Animals For Asia (AFA) 2023 di sebuah klinik veterinar, di Kuching, baru-baru ini. Foto: Lorenzo Isaac Anthony (TVS)

Persidangan ‘Asia for Animals 2023’ platform promosi kebajikan haiwan

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 5 Okt: Persidangan Asia for Animals (AFA) Sarawak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula 11 hingga 13 Oktober ini diyakini akan membantu mempromosikan kebajikan haiwan dan pengurusan hidupan liar di rantau Asia Pasifik.

Presiden Persatuan Menolong Haiwan Sarawak (SSCPA), Datin Dona Drury- Wee berkata, bertemakan ‘Pendidikan dan Keterlibatan Membawa Perubahan’, persidangan itu akan melibatkan 24 organisasi kebajikan haiwan terdiri daripada penyokong, profesional, dan advokat kesejahteraan haiwan dari seluruh Asia.

“Persidangan bakal dianjurkan oleh Gabungan AFA dengan kerjasama SSPCA Sarawak. Ini merupakan kali kedua SSPCA Sarawak menjadi tuan rumah bagi persidangan ini.

“Pada 2015, kami melihat banyak faedah yang diperoleh oleh masyarakat tempatan selepas menjadi tuan rumah persidangan itu,” katanya kepada TVS baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dona Drury memberitahu, persidangan berkenaan merupakan platform bagi majlis bandaraya, jabatan veterinar dan doktor veterinar haiwan tempatan berkumpul untuk berkongsi pengalaman dan mempelajari cara mengendalikan isu kekejaman terhadap haiwan.

“Mereka juga boleh berbincang aspek perlindungan, penyingkiran rabies dan konflik awam antara manusia dan haiwan,” tambahnya.

Ditanya mengenai kepentingan persidangan itu, beliau menjelaskan, tema yang dipilih selari dengan misi dan visi SSPCA, iaitu memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran.

Selain itu katanya, persidangan yang berlangsung pada bulan ini juga akan diraikan bersama Hari Haiwan Sedunia yang disambut pada 4 Oktober.

“Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuklah Wiggle Waggle Walk pada 14 Oktober, iaitu acara pengumpulan dana SSPCA di mana orang awam digalakkan membawa haiwan peliharaan seperti kucing, anjing, itik, malah kura-kura untuk mendaftar dan menyertai kami.

“Kami juga mengundang lebih 80 penceramah dari 23 negara antaranya Amerika Syarikat, Nigeria, China dan Filipina serta wakil-wakil dari pihak berkuasa tempatan seperti pegawai dari Jabatan Veterinar.

“Kami akan membincangkan isu-isu kebajikan haiwan seperti penjagaan holistik, perlindungan alam sekitar, ekopelancongan dan banyak lagi,” tambahnya.

Dona turut berkongsi bahawa persidangan ini akan turut diisi dengan ceramah disampaikan oleh Dr. Katherine Polak dari Amerika Syarikat mengenai kerjasama antara komuniti dan organisasi haiwan.

“Terdapat banyak ketidakpercayaan antara orang awam dan kerajaan ketika mereka mencuba melaksanakan pelbagai program yang berbeza.

“Ini adalah salah satu topik yang kami rasa akan memberi manfaat kepada masyarakat tempatan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan