KUCHING, 5 Okt: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sentiasa membuka peluang dalam menjayakan matlamat Sarawak untuk muncul sebagai kuasa ekonomi digital di rantau Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahadhir Aziz berkata bagi merealisasikan hasrat tersebut beberapa kerjasama dengan pemain industri dalam dan luar negara perlu dirancakkan untuk melihat keberkesanan usaha tersebut.
“Banyak perkara dan isu penting yang kita cuba ketengahkan perlu diberikan perhatian oleh kerajaan Persekutuan untuk membantu serta membuka apa-apa peluang kolaborasi,” katanya kepada TVS pada Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (WCIT | IDECS 2023) di sini pada Rabu.
Katanya lagi menerusi penganjuran WCIT | IDECS 2023, MDEC berupaya membantu meningkatkan lebih ramai bakat dan ekonomi digital di Sarawak.
“Kita selaraskan program yang kita laksanakan diperingkat kerajaan pusat di semenanjung.. dengan apa yang diusahakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan kerajaan Sarawak di sini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi MDEC Syed Ibrahim Syed Noh percaya lebih ramai bakat mampu dilahirkan sekiranya ia bermula diperingkat akar umbi.
Jelas Ahli Parlimen Ledang itu lagi, MDEC mempunyai sumbangan besar dalam pembangunan bakat yang mampu menyumbang kepada kejayaan ekonomi digital negara.
“Saya percaya cara begini membuka ruang untuk kita kembangkan lagi ekonomi digital disamping kita bekerjasama dengan pihak terlibat seperti dengan SDEC kalau di Sarawak.
“Dalam erti kata lain kita memang cari peluang untuk kolaborasi, kerana dalam hal ini kita tidak kedekut dari segi ilmu dan hubungan,” katanya. – TVS