MIRI, 4 Okt: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri akan melakukan libat urus dengan pasukan bomba di Brunei dan Indonesia bagi menangani kebakaran di sempadan.
Ketua Zon 6 Bomba Miri, Ismaidi Ismail berkata, setakat ini pihaknya menerima respon yang baik dari Jabatan Bomba Brunei selepas melakukan kunjungan awal tahun ini.
“Kerjasama berkenaan penting berikutan faktor geografi Miri yang dikelilingi oleh Brunei dan Kalimantan, Indonesia,” katanya kepada pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng hari ini.
Langkah seterusnya kata Ismaidi pihaknya telah meminta ibu pejabat di Kuching untuk mengatur perjumpaan dengan bomba di Kalimantan ke arah perbincangan kerjasama pada masa akan datang.
“Setakat ini kita tidak ada kerjasama yang jelas dengan Indonesia namun di Miri dan Brunei, sudah ada hubungan jadi kita boleh komunikasi dengan mereka,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, walaupun keadaan cuaca di Miri sering hujan kebelakangan ini, penduduk dinasihatkan tidak mengambil mudah dan perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.
“Ini terutamanya apabila hendak melakukan pembersihan kawasan kebun dan ladang, apabila pembakaran tidak terkawal, mereka perlu segera menghubungi bomba sebelum ia merebak,” katanya.-TVS.