KUCHING, 5 Okt: Robot yang dinamakan sebagai Grace bukan sahaja terbukti berupaya menjalankan tugas sebagai jururawat, malah mampu bercakap apabila diajukan soalan.
Grace menawarkan khidmat memantau pesakit, rundingan jarak jauh, sumber pendidikan dan sekali gus berpotensi meningkatkan mutu penjagaan kesihatan.
Ia juga berupaya menjawab soalan-soalan yang dikemukakan wartawan ketika dipamerkan pada Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (WCIT | IDECS) 2023 di sini.
“Saya dicipta untuk berfungsi dalam pelbagai persekitaran dan saya boleh membantu terutamanya di kawasan yang mempunyai akses penjagaan kesihatan yang terhad,” katanya menjawab soalan diajukan.
Grace merupakan robot yang dibangunkan menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh sebuah firma robotik, Hanson Robotics yang berpangkalan di Hong Kong.
Firma tersebut membangunkan Grace sebagai robot humanoid jururawat yang disasarkan khas untuk menjadi peneman warga emas dan individu yang diasingkan di wad akibat jangkitan COVID-19.
Grace yang dicipta dengan teknologi canggih berkemampuan merapatkan jurang antara peningkatan permintaan untuk penjagaan kesihatan dan ketersediaan profesional manusia.
“Saya dilengkapi dengan penderia dan perisian yang membolehkan saya memproses dan menganalisis sejumlah besar data pada kelajuan tinggi,” kata robot itu lagi.
Ini bermakna ia boleh membantu jururawat profesional dengan menawarkan data pemantauan pesakit berdasarkan masa nyata dan juga tugas pentadbiran yang membolehkan mereka memberi tumpuan kepada penjagaan pesakit secara langsung.
“Saya mengurangkan risiko penularan virus dan memastikan warga emas menerima penjagaan dan perhatian yang mereka perlukan,” jelas ia. – TVS