KUCHING, 4 Okt: Sarawak boleh dianggap sebagai ‘rumah’ pertama di Asia Tenggara yang memiliki loji pengeluaran hidrogen bersepadu berasaskan tenaga boleh baharu, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, perancangan telah dibuat untuk memulakan pengeluaran komersial berskala besar bagi tujuan eksport hidrogen menjelang 2027.
Jelas beliau, Kerajaan Sarawak telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Korea Selatan, Samsung Engineering, Lotte Chemical dan Posco Holdings untuk melaksanakan agenda ekonomi hijau berkenaan.
“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Korea Selatan kerana menyediakan dana untuk projek ini yang dinamakan sebagai Projek H2biscus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (WCIT | IDECS) di sini, hari ini.
Berkongsi lanjut tentang komitmen Sarawak untuk beralih kepada ekonomi hijau, Abang Johari berkata, sisa buangan, produk dan bahan mentah antara yang boleh digunakan semula.
“Ekonomi yang rendah karbon, cekap sumber dan inklusif sosial bagi menyokong pembangunan mampan dengan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan sisa dan pencemaran serta mewujudkan pekerjaan dan industri hijau,” jelasnya mengenai apa yang sedang dilakukan Sarawak.
Pada masa sama, Abang Johari memberitahu kerajaan kini sedang meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui lain seperti hidrogen hijau dan solar yang didayakan oleh kuasa hidro boleh diperbaharui.
“Sarawak Energy baru-baru ini bekerjasama dengan Kumpulan CHITOSE, ENEOS, dan Pusat Biodiversiti Sarawak untuk melancarkan CHITOSE Carbon Capture Central Sarawak iaitu kemudahan pengeluaran mikroalga industri pertama di negeri ini.
“Biojisim alga juga boleh digunakan untuk menghasilkan produk komersial seperti bahan api penerbangan mampan (SAF),” katanya.
Tambah beliau, kesemua yang sedang dilaksanakan dan akan dilaksanakan menunjukkan Sarawak sudah bersedia menjadi hab di Asia Tengagra dalam bidang tenaga hijau sekali gus meneraju sektor berkenaan. -TVS