KUCHING, 4 Okt: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan segala resolusi dan cadangan dikemukakan menerusi Penganjuran Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (WCIT | IDECS) 2023.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata walaupun hala tuju ekonomi telah dirangka tetapi perubahan boleh dilakukan bagi menerima teknologi baharu.
“Sarawak akan terus maju ke hadapan dan kami akan meneliti setiap cadangan daripada persidangan itu.
“Mungkin kita perlu membuat satu pelarasan tertentu melalui produk dan proses yang baharu berdasarkan perubahan landskap dan persekitaran semasa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan WCIT|IDECS 2023 di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi World Innocation and Technology Services Alliance (WITSA) Dr Sean Seah.
Ditanya mengenai kerjasama antara Sarawak dan Pulau Pinang dalam bidang ekonomi digital, beliau berkata walaupun kedua-dua negeri mempunyai potensi masing-masing namun kedua-dua pihak akan berusaha memajukan Malaysia.
“Pulau Pinang dan Sarawak boleh bekerjasama bagi mengukuhkan keseluruhan industri bersama-sama.
“Sebagai contoh, Pulau Pinang mempunyai kepakaran dalam perkilangan IT dan Sarawak pula mempunyai tenaga. Jadi, dari situlah pembangunan bakat boleh diusahakan bersama-sama,” katanya.
WCIT | IDECS 2023 menghimpunkan lebih 10,000 pakar, peneraju industri, penggubal dasar dan usahawan dari seluruh dunia, untuk meneroka pelbagai dimensi ekonomi digital dan kesan transformasinya terhadap sektor, model perniagaan, kejiranan dan negara. – TVS