KUCHING, 4 Okt:Â Pelanggan Cuckoo berpeluang memenangi tiga buah kondominium serta tiga buah kereta Tesla Model 3 dengan hanya membeli produk syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo International, Hoe Kian Choon berkata, ini susulan pihaknya melanjutkan tempoh Peraduan Beli Cuckoo Menang Kondo bermula 1 Oktober hingga 31 Disember ini.
Kian Choon berkata, ekoran sambutan hebat terhadap peraduan sebelum ini, Cuckoo menambah hadiah sebanyak RM1 juta, menjadikan jumlah keseluruhan yang ditawarkan mencecah RM3 juta untuk 90 orang pemenang.
“Pelanggan hanya perlu membeli sebarang produk Cuckoo untuk melayakkan mereka menyertai peraduan.
“Setiap bulan, kita adakan satu cabutan.
“Begitu juga dengan hadiah kereta dan wang tunai, sebelum ini tiga kereta, sekarang Cuckoo tawarkan enam buah kereta iaitu tiga jenis Proton Saga dan tiga lagi model Tesla. Hadiah wang tunai pula daripada RM1,000 kepada RM1,500 untuk setiap pemenang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir sambutan ulang tahun kesembilan Cuckoo International di sini hari ini.
Acara turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi nombor satu negara yang juga duta Cuckoo, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Sementara itu, Kian Choon berkata, Sarawak menjadi antara pasaran terbesar Cuckoo dan faktor itu menyebabkan syarikat berkenaan memilih Kuching sebagai lokasi utama sambutan ulang tahun.
“Pada masa sama, Cuckoo juga mahu menjalin hubungan yang lebih erat dengan pelanggan di Sarawak khususnya di Kuching,” katanya.
Sementara itu, Â Siti Nurhaliza berkata, sepanjang menjadi duta produk tersebut, banyak perkara yang dipelajarinya terutamanya ketika pandemik COVID-19.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Cindai itu berkata, Cuckoo juga begitu dekat dengan rakyat Malaysia kerana membantu ketika pada waktu sukar akibat pandemik atau bencana alam.
“Ketika pandemik, mereka melakukan perkhidmatan sanitasi secara percuma.
“Apabila banjir, kaki tangan Cuckoo turun padang membantu mencuci kesan kotoran di kawasan terjejas, oleh itu syarikat ini begitu dekat dengan rakyat Malaysia,” katanya.
Sempena ulang tahun kesembilan ini, Cuckoo turut melancarkan dua produk terbaharunya iaitu penapis air Cuckoo Grande dan penapis udara Cuckoo U model.
Sementara itu, Cuckoo International juga merancang untuk membuka pejabat urusan yang kedua di Glenmarie, Shah Alam, Selangor selain menambah hab edarannya di seluruh negara.
Ini selaras dengan perancangan syarikat untuk mengembangkan operasinya bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Asia Tenggara.-TVS