KUCHING, 4 Okt: Sejajar dengan matlamat kerajaan menjadikan Sarawak sebagai kuasa besar ekonomi digital, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
Menurutnya, pelan komprehensif itu dirangka berpandukan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 dan pada masa sama berfungsi sebagai asas kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Pelan tindakan ini akan mengubah keseluruhan ekonomi dan masyarakat daripada ekonomi berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi berasaskan teknologi mampan.
“Ini juga untuk memastikan Sarawak tidak ketinggalan kerana kebanyakan negara membangun sudah berada di barisan hadapan ekonomi digital dan memastikan Sarawak berada di landasan yang betul untuk menjadi wilayah maju dengan 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (WCIT | IDECS) di sini, hari ini.
Abang Johari turut berkata matlamat utama juga adalah untuk memberi inspirasi kepada perniagaan menghasilkan idea baharu, menggunakannya dan menyesuaikan diri dengan model perniagaan kontemporari.
Malah ia dijangka berupaya membantu orang-ramai menggunakan kemahiran mereka agar berjaya dalam dunia digital.
Dalam pada itu, beliau berkata infrastruktur ekonomi memainkan peranan yang penting dalam mencapai aspirasi pelan tindakan menjelang 2030 dan sehubungan itu, kerajaan kini berusaha gigih meluaskan liputan dan ketersambangan internet di Sarawak terutamanya di luar bandar.
“Dengan landskap kita yang luas, dianggarkan kita memerlukan 7,000 menara telekomunikasi untuk mencapai 99.9 peratus penembusan internet di seluruh Sarawak.
“Pada masa ini, 3,856 menara telah siap; 761 menara akan dibina secara berperingkat menjelang akhir tahun ini dan menara yang tinggal akan dibina dan siap sebelum 2030,” jelasnya.
Menurutnya lagi, liputan internet 4G di Sarawak ketika ini adalah 61.6 peratus dan dijangka meningkat pada 93.87 peratus menjelang hujung 2023.
Pada masa sama, Sarawak berbangga menjadi pengguna awal capaian internet 5G dengan pembinaan tapak operasi meliputi 59.6 peratus di kawasan berpenduduk menjelang 2024. – TVS