ABU DHABI, 4 Okt: Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi tahun ini (ADIPEC 2023) mengumumkan lapan pemenang mewakili projek, syarikat dan individu, termasuk dari Malaysia yang menjadi peneraju dalam mendorong transformasi sistem tenaga global.
Pengurus Produk Teknologi Digital Solutions di PETRONAS, Lee Kian Seng dinobatkan penerima anugerah ‘Young Changemaker of the Year’ pada majlis penyampaian Anugerah ADIPEC edisi ke-13 yang bertemakan “Memimpin transformasi” dan dihoskan oleh Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) di hotel Emirate Palace pada Selasa.
Lee diiktiraf atas pencapaian cemerlangnya dalam mendorong transformasi melalui pelbagai peranannya di PETRONAS, termasuk memimpin projek analitik data raya dalam domain hasil pengeluaran optimum, peningkatan kecekapan tenaga dan pelaksanaan langkah-langkah persediaan untuk operasi awal hub.
Sementara itu, PETRONAS Research Malaysia diumum sebagai Syarikat Tenaga Ekonomi Berkembang ADIPEC (Developing Economies Energy Company of the Year) menerusi penyelesaian teknologi inovatifnya terhadap lambakan karbon dioksida yang tinggi di negara membangun.
Suhail Mohamed Al Mazrouei, Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE yang juga hakim anugerah ADIPEC 2023 berkata, “Kita berbangga dengan kejayaan Anugerah ADIPEC dalam menonjolkan syarikat dan individu paling inovatif dan berdaya maju.
“Dunia memerlukan penyelesaian yang mendesak dan nyata terhadap cabaran perubahan iklim dan dekarbonisasi, justeru anugerah-anugerah ini terus mempamerkan kepimpinan dalam inovasi dan kerjasama bagi memacu industri ke hadapan,” katanya seperti dipetik Agensi Berita UAE (WAM).
Kesemua pemenang dinilai berdasarkan pencapaian dalam penyelidikan, projek teknologi, transformasi digital, inklusif dan kepelbagaian, sumbangan sosial dan tempatan, serta pencapaian oleh profesional dan teknokrat muda.
Selain Malaysia, pemenang lain mewakili syarikat dan individu dari UAE, United Kingdom, Israel, dan Amerika Syarikat.
Anugerah ADIPEC tahun ini menyaksikan 1,072 penyertaan dari 78 negara. -TVS