MIRI, 4 Okt: Taman Negara Niah telah dicalonkan oleh Malaysia sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pencalonan itu menjadikan lokasi pelancongan terkenal itu bakal menjadi Tapak Warisan Dunia kedua di Sarawak dan kelima di Malaysia.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, penilaian terhadap Taman Negara Niah akan dibawa ke mesyuarat pada November ini di Paris dan diakhiri pada Julai 2024 di India.
“Penilaian yang akan dilakukan penting bagi Malaysia dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Penilaian Majlis Antarabangsa Mengenai Monumen dan Tapak (ICOMOS) ke atas Taman Negara Niah untuk dimaktubkan sebagai Tapak Warisan Dunia hari ini.
Sementara itu, Len Talif berkata, naratif mengenai Taman Negara Niah perlu tepat dan sahih atau ia akan menjejaskan peluangnya untuk disenaraikan.
“Sungai dilihat memainkan peranan penting dalam naratif tadbir urus Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Mereka (mahu) tindakan diambil untuk menyeimbangkan isu hidupan liar dan komuniti sekitarnya,” katanya.
Sebelum ini, ICOMOS telah menjalankan lawatan dan penilaian lima hari di Taman Negara Niah untuk mengetengahkan kepentingan dan nilainya sebagai tapak unik dan luar biasa yang mengandungi bukti sejarah, budaya dan tamadun manusia. -TVS