KUCHING, 3 Okt: Tangisan mengiringi kejayaan ratu terjun negara, Dato Pandelela Rinong selepas meraih pingat gangsa Sukan Asia ke-19 petang tadi.
Pandelela ketika ditemu bual media tidak dapat menahan air mata apabila mengenang segala pengorbanan yang dilakukan untuk memastikan Jalur Gemilang berkibar di pentas antarabangsa.
Kata Pandelela, salah satunya ialah menahan kesakitan pada setiap sesi latihan.
“Saya terpaksa melawan rasa tidak sihat pagi tadi untuk beraksi di final petang ini,” katanya di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.
Tambah Pandelela, dia juga mengambil ubat dan mendapatkan rawatan refleksologi daripada pegawai Institut Sukan Negara (ISN) untuk memastikan dapat beraksi pada final.
“Saya perlu menyelam dengan rasa sakit untuk pertandingan ini,” tambahnya.
Pandelela-Nur Dhabitah raih gangsa 10m platform seirama wanita
Dalam acara 10 meter platform individu wanita hari ini, Pandelela bertahan sehingga terjunan terakhir untuk memastikan pingat dalam gengamannya.
Atlet kelahiran Bau, Sarawak itu melengkapkan terjunan dengan memungut 280.50 mata sekali gus memastikan pencabar terdekatnya dari Jepun, Arai Matsuri gagal memintas.
Arai menamatkan cabaran dengan 279.30 mata.
Sementara itu, dua atlet tuan rumah ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila jauh meninggalkan pencabar lain.
Quan Hongchan muncul juara apabila melakukan ‘terjunan sempurna’ dengan meraih 438.20 mata meninggalkan Chen Yuxi untuk pingat perak dengan catatan 435.65.
Pada 30 September lepas, gandingan Pandelela bersama Nur Dhabitah Sabri menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita. -TVS