KUCHING, 3 Okt: Kerjasama membangunkan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) diperkukuhkan dengan penandatanganan Sijil Pematuhan (COC) antara Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) dan EMG JV Sdn Bhd.
Penandatanganan itu juga menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam usaha merealisasikan aspirasi Sarawak untuk memodenkan pengangkutan awam di bandar raya ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi, Mazli Mustaffa menandatangani kontrak untuk Sarawak Metro manakala EMG JV diwakili Pengarahnya, Chan Chee Kian.
Penandatanganan tersebut adalah susulan daripada pemberian kontrak pada Julai 2022 dan pemeteraian bon pelaksanaan pada 20 Julai 2023.
EMG JV, usaha sama antara EPR (Kuching) Sdn Bhd, Mobilus Sdn Bhd dan Global Rail Sdn Bhd, merupakan kontraktor utama bagi Pakej Sistem 1 projek KUTS.
Kontrak tersebut melibatkan pembekalan kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen, peralatan depoh dan kenderaan penyelenggaraan (DEMV), sistem isyarat dan kawalan (S&CS) dan pintu platform automatik (APG) telah diserahkan pada Julai tahun lepas.
Pada masa ini, EMG JV sedang menyelaraskan ujian kejuruteraan dan peringkat kedua latihan Bukti Konsep (POC) untuk unit prototaip ART yang telah bermula pada 4 September.
Ujian itu akan diadakan selama dua bulan dan akan berakhir pada Oktober dan laluan itu adalah jalan mengelilingi Jalan Keruing melepasi Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) untuk memperhalusi spesifikasi unit ART dan untuk mengenal pasti sebarang isu yang berpotensi sebelum meneruskan latihan POC.
Pandu uji tersebut juga untuk menilai prestasi dan fungsi ART, melalui unit prototaip.
Peringkat dua latihan POC akan dijalankan pada November bagi mengumpul data menilai kebolehlaksanaan prototaip untuk reka bentuk akhir kenderaan ART.
Latihan POC akan dijalankan di lorong sepanjang 3 kilometer yang dibina antara dua bulatan di Kota Samarahan, di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan dan laluan ini akan membentuk satu bahagian lorong khusus tetap yang dibina untuk rangkaian Blue Line projek KUTS.
Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah diamanahkan untuk melaksanakan, mengendali dan menyelenggara projek KUTS.
Projek KUTS akan dibangunkan secara berperingkat dan Fasa 1 adalah untuk pembangunan tiga garisan – Biru, Merah dan Hijau.
Fasa 1 Projek KUTS dijadual mula beroperasi secara berperingkat, mulai hujung 2025.
Garisan Biru, meliputi jarak 27.5km, adalah dari Rembus di Kota Samarahan ke pusat bandar Kuching; Merah (12.3km) adalah dari Kuching Sentral ke Pending dan Hijau (30km) dari Pending ke Damai Central.
Kenderaan ART akan dikendalikan di lorong khusus dan tidak akan berkongsi jalan dengan pengguna jalan raya lain dan laluan ART mungkin akan berada sama paras pada jalan atau bertingkat.
Operasi ART akan disokong oleh rangkaian bas pengantara yang juga akan menggunakan kenderaan berkuasa hidrogen. – TVS