KUCHING, 3 Okt: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) memperuntukkan RM1.18 juta bagi melaksanakan Program Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD) Pengukuhan Pedagogi untuk Guru-Guru Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris Sekolah Rendah tahun ini.
Menterinya, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, peruntukan berkenaan diharap mampu melahirkan guru berkualiti sekali gus mendatangkan impak positif terhadap pelajar.
Kata beliau, CPD bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan cara penyampaian mengajar dalam kalangan guru-guru terlibat.
“Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) telah menghasilkan modul yang lebih baik dan mudah kepada guru.
“Kita berharap ia akan membuahkan hasil terutamanya selepas pelajar menamatkan tingkatan tiga kerana ia akan menentukan aliran pembelajaran seterusnya (sama ada) sains atau seni. Oleh itu, kementerian percaya, program ini akan dapat melahirkan guru yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis pelancaran program berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri MEITD, Datuk Francis Harden Hollis.
Program berkenaan dianjurkan oleh kementerian itu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan IPGKTAR.
Sementara itu, Pengarah IPGKTAR, Anis Alisya Abdullah berkata, pelbagai elemen tambahan disertakan dalam CPD termasuk Pengetahuan Isi Kandungan Pedagogi (PCK) dan Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (CBA) bagi meningkatkan kemahiran guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
“Program CPD ini akan dijalankan melalui bengkel meliputi 10 stesen berbeza iaitu di Kuching, Serian, Sri Aman, Miri, Sibu, Sarikei, Mukah, Kapit, Bintulu dan Limbang,” ujarnya.
Seramai 700 orang guru sains, 700 guru matematik dan 166 guru bahasa Inggeris terlibat dalam bengkel ini secara beberapa fasa bermula 26 September hingga 20 Oktober ini. -TVS