KUCHING, 3 Okt: Mesin ultrabunyi baharu yang diterima Hospital Umum Sarawak (HUS) hari ini akan memberi manfaat kepada pesakit barah payudara.
Bendahari Persatuan Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri (SABATI) Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin berkata, mesin bernilai RM100,000 sumbangan pihaknya itu akan ditempatkan di Unit Kanser Payudara di HUS.
Ujar Siti Shorgayah, penyerahan mesin dilakukan selepas menerima permohonan daripada HUS setahun lalu.
“Sembilan orang wakil daripada SABATI hari ini sangat gembira kerana kami berjaya memenuhi permintaan Unit Kanser Payudara HUS yang memerlukan peralatan ini.
“Alhamdulillah ini dapat memenuhi keperluan pesakit kerana sebelum ini mereka perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan mesin itu kepada Unit Rawatan Kanser Payudara di di HUS hari ini.
Turut hadir, isteri Premier Sarawak yang juga Presiden SABATI, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Tambah beliau, mesin ultrabunyi berkenaan merupakan keluaran terkini dan penting bagi mendapatkan maklumat tepat pesakit dan seterusnya mempercepatkan proses diagnosis.
“Mesin ultrabunyi dari Amerika Syarikat ini dapat memendekkan masa untuk melakukan diagnosis dan rawatan.
“Kita juga mendapat bantuan daripada badan korporat untuk membeli mesin ini,” ujarnya.-TVS