Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto hiasan Envato.

Rugi RM213,700 ditipu dua peminjam wang tidak wujud di Instagram

IPOH, 3 Okt: Hasrat seorang ahli perniagaan wanita untuk membuat pinjaman sebanyak RM13,000 bukan sahaja tidak kesampaian, bahkan terpaksa berputih mata apabila kerugian RM213,700 selepas ditipu dua sindiket pinjaman wang tidak wujud secara serentak.

Mangsa berusia 51 tahun dikatakan mula terjerat dalam penipuan itu selepas melihat iklan pinjaman wang di Instagram pada 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa telah berurusan dengan seorang lelaki menerusi nombor telefon yang diletakkan pada iklan tersebut untuk membuat pinjaman RM70,000.

“Suspek yang memperkenalkan dirinya dengan nama Thong Ji Sing meminta wanita itu membuat beberapa transaksi bayaran kononnya bagi kos memproses dan perkhidmatan sebagai syarat untuk membuat pinjaman.

“Bermula 11 hingga 16 September lepas, mangsa telah membuat 25 transaksi pembayaran ke dalam 16 akaun bank berbeza berjumlah RM100,020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Yusri, pada masa sama, mangsa telah melihat satu lagi iklan pinjaman wang di Instagram atas nama syarikat lain dan berhasrat membuat pinjaman RM60,000 lagi biarpun permohonan pinjaman pertama belum diperolehi.

“Dia telah berurusan dengan seorang lelaki yang tidak memperkenalkan diri sebelum diminta membuat pembayaran bagi urusan memproses pinjaman.

“Dalam tempoh antara 18 hingga 30 September lepas, mangsa telah membuat 24 transaksi pembayaran wang ke dalam 14 akaun bank berjumlah RM113,680,” katanya lagi.

Ujar beliau, wanita itu akhirnya menyedari dia ditipu selepas panggilan telefon dan kiriman mesej kepada kedua-dua syarikat itu tidak dilayan sebelum nombornya disekat.

“Dia telah membuat 30 transaksi bayaran berjumlah RM213,700 bagi kedua-dua pinjaman tersebut dan masih gagal mendapatkan wang seperti mana dijanjikan.

“Mangsa juga tampil membuat laporan polis kira-kira pukul 6.30 petang semalam,” katanya lagi.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan