KUCHING, 3 Okt: Peruntukan RM1 bilion disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2023 tidak mencukupi untuk membaiki sekolah daif di sini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, jumlah berkenaan hanya cukup untuk menampung perbelanjaan bagi membaiki 140 buah sekolah daif sahaja.
Sehubungan itu beliau berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat meningkatkan peruntukan menerusi Belanjawan 2024 untuk membaik pulih 1,020 buah sekolah daif di Sarawak.
“Perkara penting sekarang adalah membaik pulih sekolah daif di Sarawak.
Kerajaan Sarawak sedia RM160 juta baiki sekolah daif di Limbang
“Sebanyak 1,020 buah sekolah daif di Sarawak belum dibaik pulih,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Pelancaran Program CPD Pengukuhan Pedagogi untuk Guru-Guru Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris Sekolah Rendah di Sarawak 2023 di sini.
Sementara itu, Roland Sagah berharap kerja-kerja membaik pulih dapat disegerakan berikutan kemudahan di sekolah terlibat semakin usang. -TVS