JAKARTA, 3 Okt: Kerajaan Indonesia menafikan masalah jerebu yang melanda Malaysia ketika ini berpunca daripada jerebu rentas sempadan dari negara ini.
Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan (LHK) Indonesia, Siti Nurbaya berkata, kenyataan itu berdasarkan imej taburan asap Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia dan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) di Singapura yang diteliti.
“Mengenai jerebu Indonesia yang memasuki Malaysia, itu tidak benar kerana kita melihat daripada imej satelit kedua-dua laporan kita dan ASMC bahawa tiada jerebu rentas sempadan yang sampai ke Malaysia,” katanya.
Malaysia baru – baru ini membuat aduan mengenai jerebu di negara itu yang didakwa berpunca akibat kebakaran hutan dan tanah di republik ini.
Sementara itu, Siti Nurbaya berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan jerebu namun mengakui terhadap kebakaran tanah di Sumatera dan Kalimantan.
“Namun arah tiupan angin di Indonesia biasanya dari Tenggara ke Barat Laut dan Timur Laut dan dipastikan tidak melintasi negara jiran,” katanya.
Pada masa sama beliau memaklumkan, pihak berkuasa Indonesia terus bekerja keras untuk memadam kebakaran tanah dan hutan yang menyumbang kepada titik panas. -TVS