KUCHING, 3 Okt: Kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) akan beroperasi menggunakan laluan khas dan tidak akan berkongsi jalan dengan pengguna jalan raya lain.
Sarawak Metro Sdn Bhd yang memaklumkan demikian, menambah, laluan itu dibina sama ada pada paras jalan atau bertingkat.
“Kenderaan ART menggunakan tayar getah dan oleh itu lorong khusus akan beroperasi tanpa jejak.
“Operasi ART akan disokong oleh rangkaian bas pengantara yang juga akan menggunakan kenderaan berkuasa hidrogen,” kata Sarawak Metro menerusi kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena majlis menandatangani Sijil Pematuhan (COC) antara Sarawak Metro dan EMG JV Sdn Bhd yang menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam usaha merealisasikan aspirasi Sarawak dalam memodenkan pengangkutan awam di bandar raya ini.
Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah diamanahkan untuk melaksana, mengendali dan menyelenggara projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) merangkumi ART.
Pada masa ini, EMG JV sedang menyelaraskan ujian kejuruteraan dan peringkat kedua latihan Bukti Konsep (POC) untuk unit prototaip ART yang bermula pada 4 September.
Ujian itu akan diadakan selama dua bulan dan akan berakhir pada Oktober dan laluan itu adalah jalan mengelilingi Jalan Keruing melepasi Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) untuk memperhalusi spesifikasi unit ART dan untuk mengenal pasti sebarang isu yang berpotensi sebelum meneruskan latihan POC.
Pandu uji tersebut juga untuk menilai prestasi dan fungsi ART, melalui unit prototaip.
Peringkat dua latihan POC akan dijalankan pada November bagi mengumpul data menilai kebolehlaksanaan prototaip untuk reka bentuk akhir kenderaan ART. – TVS