KUCHING, 3 Okt: Seramai 2.6 juta pelancong direkodkan memasuki Sarawak dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini – kian hampir mencapai sasaran tiga juta pelancong pada tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kemasukan berkenaan telah menjana hasil RM6.58 bilion berbanding RM2.12 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
“Angka yang kita perolehi ini tidak akan membuatkan kita mengubah sasaran (tiga juta pelancong) sebelum ini kerana jika kita ubah dan kita tidak berjaya mencapainya bermakna kita telah gagal.
“Sebarang sasaran baharu akan ditetapkan pada penghujung tahun ini selepas kita berjaya mencapai sasaran 3 juta pelancong,” katanya pada sidang media sempena Sarawak Regatta dan Kuching Waterfront Festival di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, daripada 2.6 juta, seramai 1.4 juta orang merupakan pelancong asing. Ini merupakan peningkatan 585 peratus berbanding 206,328 orang bagi tempoh sama pada 2022.
Kemasukan pelancong domestik juga merekodkan peningkatan iaitu seramai 1.2 juta orang berbanding 691,575 orang untuk tempoh sama pada 2022.
Peningkatan jumlah pelancong dan hasil dikutip menunjukkan industri pelancongan Sarawak kian pulih, katanya. – TVS