JULAU, 2 Okt: Tujuh individu ditahan apabila disyaki terbabit dengan aktiviti sabung ayam di kawasan ladang kelapa sawit di Pakan, dekat sini pada Ahad.
Antara mereka ditahan termasuk seorang lelaki warga emas berusia 83 tahun yang gagal meloloskan diri daripada serbuan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau pada 3 petang.
Ketua Polis Daerah Julau Deputi Superintendan (DSP) Andam Sulin berkata sebuan menerusi ‘Operasi (Op) Dadu Khas’ itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti perjudian sabung ayam.
“Sekumpulan lelaki yang berada di gelanggang sabung ayam itu sekadar tercengang kerana tidak sempat melarikan diri manakala yang lain meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran.
“Pihak kami kemudian berjaya menangkap tujuh individu berusia 29 hingga 83 tahun” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Katanya, polis turut merampas tiga ekor ayam jantan mati, alat penimbang, papan bertulis jadual pertaruhan, sebilah taji dan sejumlah wang.
“Tangkapan dan rampasan akan disiasat mengikut Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999,” jelasnya.
Menurut Andam, jika sabit kesalahan, kesemua suspek boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, beliau juga mengingatkan semua masyarakat awam khususnya di daerah Julau dan Pakan agar sentiasa patut kepada arahan pihak berkuasa dan tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Beliau juga menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan perjudian pertaruhan sabung ayam jika mereka ditangkap.
“Orang awam juga diseru agar menyalurkan sebarang maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis,” katanya. – TVS