KUCHING, 2 Okt: Alumni program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Sarawak berjaya menjana jualan hampir RM10 juta.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dr Ripin Lamat berkata, ini membuktikan bidang keusahawanan yang diberi perhatian oleh kerajaan mampu memacu pertumbuhan Sarawak ke arah negeri maju dan berdaya saing.
Menurutnya, menerusi keusahawanan belia, inisiatif kerajaan pusat serta Kerajaan Sarawak dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan pengangguran.
“Kami di pihak agensi dan kerajaan boleh melaksanakan pelbagai program dan skim bantuan usahawan, namun tanpa penyertaan usahawan terutamanya golongan belia, program tidak akan berjaya untuk mencapai sasaran.
“Oleh itu, amat penting bagi kita menggalakkan belia menceburi bidang usahawan dan menjadikan mereka sebagai job creator berbanding job seeker,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadiri sesi interaksi bersama Alumni TUBE 2023.
Justeru, Ripin berharap program seumpama ini dapat di teruskan malah diperhebat untuk memperkasa usahawan belia di Sarawak.
Sementara itu, penyaluran geran TUBE di Sarawak merupakan yang kedua tertinggi selepas Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, di Sarawak seramai 728 usahawan dibantu dengan peruntukan RM10.12 juta daripada keseluruhan geran perniagaan sebanyak RM101.40 juta.
SME Corp sediakan geran khusus untuk usahawan Sabah dan Sarawak
“Berdasarkan statistik, kita mempunyai seramai 7,041 peserta yang sertai TUBE.
“Bagi Sarawak, seramai 695 peserta telah berjaya mendaftarkan perniagaan serta sebanyak 1,439 peluang pekerjaan diwujudkan oleh TUBErs Sarawak,” katanya.
Tambah Rizal, nilai jualan keseluruhan terkini yang dijana oleh peserta TUBE di seluruh negara mencecah RM154.39 juta manakala di Sarawak mencatatkan jualan terkumpul sebanyak RM9.6 juta.
Katanya, pelaksanaan TUBE 9.0 pada tahun ini telah mendapat suntikan dana tambahan melalui Dana Mikro Madani di bawah inisiatif Ekonomi Madani.
“Program serta bantuan berterusan menunjukkan betapa kerajaan sentiasa menyokong dan memberi galakan kepada golongan belia terutamanya Alumni TUBE Sarawak untuk menceburi bidang keusahawanan secara serius, menjadi pilihan kerjaya utama terutamanya dalam kalangan belia Bumiputera di seluruh negara,” katanya. -TVS