BENTONG, 2 Okt: Kerajaan memutuskan untuk menyalurkan subsidi berjumlah hampir RM400 juta bagi premis kerajaan seperti kem tentera, polis dan asrama sekolah menggunakan beras import sebagai langkah meningkatkan beras putih tempatan dalam pasaran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu dapat meningkatkan bekalan beras tempatan kira-kira lima peratus, jumlah yang digunakan oleh premis kerajaan berkenaan.
Bekalan beras tempatan kembali stabil dalam sebulan ini – Mohamad Sabu
“Beras tempatan tak cukup disebabkan harga beras import naik, ada hotel pun sudah pakai beras tempatan. Lima peratus penggunaan ini (oleh premis kerajaan), kita beri subsidi beli beras import supaya lima peratus boleh dipulangkan, berada lebih di pasaran.
“Keputusan ini hari ini (premis kerajaan) beli hanya beras import…berapa subsidi? Hampir RM400 juta, kerana ia bukan percuma,” katanya semasa berucap pada Karnival Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. -TVS