Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof hadir pada Persidangan Minyak Sawit Kebangsaan (NPOC 2023) anjuran Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA. Foto Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Pemegang kepentingan industri minyak sawit perlu sama – sama berusaha kekalkan kemakmuran – Fadillah

ByBernama

KUALA LUMPUR, 2 Okt: Pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit mesti bersama-sama berusaha ke arah mengekalkan kemakmuran aspek-aspek utama industri itu, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata pemain industri mesti mengakui cabaran dalam mengemudikan landskap pertanian global.

“Adalah penting untuk menekankan bahawa mengeluarkan minyak sawit daripada bekalan makanan global akan membawa kesan buruk kepada industri kita dan dunia secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Persidangan Minyak Sawit Kebangsaan (NPOC 2023) anjuran Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) yang bermula hari ini.

Beliau berkata sejak sekian lama, industri minyak sawit Malaysia telah memainkan peranan transformatif dalam menjadikan negara sebagai peneraju global dalam pasaran minyak makanan sambil memperkukuhkan ekonomi negara.

Sektor ini, katanya merupakan tonggak sosioekonomi yang berdaya tahan, menyumbang dengan ketara kepada pembangunan luar bandar.

Ia telah menyediakan peluang pekerjaan secara konsisten, merangsang industri yang berkaitan, dan meningkatkan pendapatan pertukaran asing, manakala seluruh rantaian bekalan secara konsisten menyumbang hasil cukai yang besar, menekankan kepentingan ekonomi, kata menteri itu.

Sehingga Dis 2022, kelapa sawit yang ditanam di Malaysia mencapai 5.67 juta hektar, dan hasilnya menyumbang kira-kira 18 peratus daripada eksport minyak dan lemak makanan dunia.

“Saya ingin menekankan bahawa pertumbuhan mampan dan daya saing industri ini – walaupun menghadapi kebimbangan sosial dan alam sekitar – patut dipuji. Negara kita kekal komited untuk menangani amalan perdagangan diskriminasi yang bertujuan untuk menjejaskan komoditi pertanian penting ini.

“Oleh itu, kita akan terus berusaha untuk melibatkan diri dengan Kesatuan Eropah dan pihak berkepentingan lain berikutan pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) untuk melindungi industri kita,” tambah beliau.

NPOC 2023 itu bertemakan “Palm Progress: Future-proofing competitiveness and sustainability”.

Pada acara itu, MPOA telah memperkenalkan Garis Panduan Pengambilan Bertanggungjawab MPOA mengenai pengambilan pekerja asing.

Garis panduan ini merupakan komponen penting dalam Piagam Pekerjaan Bertanggungjawab MPOA. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan