SARIKEI, 2 Okt: Pelaksanaan projek berimpak tinggi iaitu projek pembinaan jalan dan jambatan Sungai Pasi yang sedang rancak dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak bakal merancakkan sektor ekonomi.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek berkenaan akan menyediakan peluang ekonomi baharu kepada usahawan khususnya di zon tengah Sarawak.
“Dengan adanya jambatan ini nanti, wilayah Sarawak termasuklah mereka dari Kapit dan sebagainya, Julau Pakan boleh menghantar produk-produk mereka untuk dipasarkan ke luar negara.
“Infrastruktur seperti ini penting untuk kita mengerakkan ekonomi setempat,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Sukan Tahunan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Sarikei (SUTAIMS 2023) di Kompleks Sukan Sarikei, petang semalam.
Tambah beliau, usaha berkenaan diperkukuhkan lagi dengan sokongan pelbagai agensi berkaitan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang menyediakan modal melalui pinjaman mikro.
“Bantuan daripada kerajaan adalah seperti peruntukan kewangan daripada AIM ini. InsyaAllah mereka yang terlibat dalam skim AIM ini dapat memperbesarkan perniagaan mereka bukan sahaja daripada AIM, kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
“Jadi dengan adanya infrastruktur seperti ini, kita yakin dapat memperkembangkan ekonomi kita,” ujarnya lagi.
Jelasnya, bantuan yang diberikan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan bagi memastikan mereka dapat bersaing sekali gus menambah sumber pendapatan.
Program tersebut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,500 sahabat AIM di zon tengah Sarawak. – TVS