BALING, 2 Okt: Kematian lelaki warga emas dalam kejadian samun membabitkan dua suspek di rumahnya di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di sini semalam disahkan akibat mukanya ditekup.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, proses bedah siasat ke atas mangsa berusia 71 tahun itu dibuat di Hospital Sultana Bahiyah, Alor Setar dekat sini hari ini.
“Hasil post mortem mendedahkan kematian mangsa akibat kelemasan tekupan dan kecederaan tulang belakang servikal,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, mangsa yang tinggal bersendirian ditemui mati dalam keadaan leher dijerut dengan kain pelikat serta kaki dan tangan diikat di dalam bilik tidur selepas disamun.
Antara barangan yang dilaporkan hilang adalah seutas rantai emas dan sebentuk cincin yang dipakai mangsa serta dompet miliknya.
Suspek berusia 23 dan 25 tahun berjaya dicekup polis kira-kira pukul 3 pagi tadi di kawasan Kuala Ketil dan telah direman selama enam hari. – TVS