PUTRAJAYA, 2 Okt: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan pengebom berani mati di Ankara, Turkiye pada Ahad, yang mencederakan dua pegawai polis, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).
“Malaysia bersolidariti dengan kerajaan Turkiye dan masyarakat antarabangsa dalam menolak sebarang tindakan keganasan yang bertujuan mengganggu proses politik yang sah,” menurut kementerian dalam satu kenyataan pada Isnin.
Agensi Anadolu melaporkan seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di hadapan Direktorat Keselamatan di Ankara pada 9.30 pagi waktu tempatan.
Dua anggota polis cedera ringan, manakala seorang lagi pengganas dibunuh oleh pasukan keselamatan.
Sementara itu, Wisma Putra mengesahkan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian berkenaan.
Kedutaan Malaysia di Ankara sedang memantau perkembangan itu dan berhubung dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Rakyat Malaysia di Turkiye disaran mengambil langkah berwaspada dan sentiasa mematuhi nasihat perjalanan pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.
Rakyat Malaysia di Turkiye yang ingin mendapatkan bantuan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Ankara di 00 (90-312) 44635 47 / 48 atau 00 (90 – 5078128406) (Mobile) atau e-mel mwankara@kln.gov.my.
Mereka juga boleh menghubungi Konsulat Jeneral di Istanbul di 00 (90-212) 989 10 01 atau e-mel mwistanbul@kln.gov.my. – TVS