BETONG, 2 Okt: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak bersama Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak merancang melaksanakan program latihan untuk 1,700 orang guru bukan opsyen mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris mulai Oktober ini.
Menterinya, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata ia merupakan antara inisiatif yang diambil kementeriannya bagi memastikan guru yang ditempatkan di negeri ini mempunyai persediaan yang secukupnya untuk sesi pengajaran.
“MEITD juga telah menganjurkan Sarawak School Leadership Conference pada Mei yang lepas dengan melibatkan 400 orang pemimpin sekolah termasuk Pengetua, Guru Besar dan Penolong Kanan dari Bahagian Utara Sarawak dan kita akan meliputi seluruh Sarawak melalui siri program yang akan datang,” katanya.
Sagah berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, kerajaan berharap program-program seperti ini dapat memberi impak tambahan kepada warga pendidik dari aspek kepimpinan, pengurusan organisasi, pengurusan kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal murid, pembelajaran dan pemudahcaraan dan kemenjadian murid.
Ini adalah selaras dengan visi Kerajaan Sarawak untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti tinggi dan berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan akan kepentingan terhadap penguasaan mata pelajaran STEM dan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak muda di negeri ini.
Beliau menjelaskan, dengan menguasai bahasa Inggeris ia membantu pelajar untuk menguasai ilmu dan teknologi baharu yang berkembang dengan begitu pesat. – TVS