KOTA SAMARAHAN, 2 Okt: Hujan lebat tidak mematahkan semangat hampir 10,000 umat Islam mendengar ceramah Kembara Cinta Rasul disampaikan pendakwah terkenal Nusantara, Ustaz Abdul Somad di padang kawad Kem Muara Tuang, malam tadi.
Muslimin dan muslimah mula memenuhi padang kawad bermula 6 petang, bersemangat mengikuti ceramah bertajuk ‘Profesion ketenteraan menurut perspektif Islam’.
Cuaca yang pada mulanya baik bertukar hujan, memaksa hadirin memenuhi ruangan khemah sambil mendengar syarahan daripada Ustaz Abdul Somad.
Hujan lebat sekali gus menyebabkan ceramah berkenaan disingkatkan sebagai langkah keselamatan.
Ustaz Abdul Somad yang tiba bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Penasihat Program Kembara Cinta Rasul Datuk Seri Fadillah Yusof sekitar 8.30 malam diiringi laungan zikir dan selawat.
Hadir sama, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi bin Md Lepi, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Hassan Embong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim serta ADUN Simunjan Awla Idris.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 September hingga 2 Oktober itu menampilkan pelbagai pengisian menarik untuk umat Islam di sekitar kawasan Kuching dan Kota Samarahan. – TVS