BALING, 2 Okt: Polis berjaya memberkas dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian samun dan bunuh seorang lelaki warga emas di rumah mangsa di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di sini semalam.
Suspek warga tempatan itu ditahan di kawasan Kuala Ketil kira-kira 12 jam selepas melakukan kegiatan tersebut.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mereka ditahan kira-kira 3 pagi hari ini oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Baling.
“Suspek adalah dua lelaki berusia 23 dan 25 tahun. Mereka juga telah dibawa ke Mahkamah Sik untuk direman selama enam hari bermula hari ini (2 Oktober),” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, TVS melaporkan seorang lelaki berusia 71 tahun yang tinggal bersendirian ditemui mati dalam keadaan leher dijerut serta kaki dan tangan diikat di rumahnya di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di sini kira-kira 3 petang semalam.
Semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran mangsa memaparkan kelibat dua lelak yang keluar dari rumah mangsa sebelum beredar dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.
Antara barangan yang dilaporkan hilang adalah seutas rantai emas dan sebentuk cincin yang dipakai mangsa serta dompet miliknya.
Mengulas lanjut, Shamsudin berkata, siasatan pihaknya mendapati mangsa telah dijerut dengan kain pelikat yang dipakainya.
“Kaki dan tangannya juga diikat dengan kain pelikat dipercayai milik mangsa,” katanya. – TVS