KUCHING, 1 Okt: Pelari Kenya menguasai empat tempat teratas kategori full marathon terbuka lelaki Kuching Marathon 2023 yang berlangsung awal pagi tadi.
David Kipkoech Kipsang muncul juara apabila menamatkan larian 42 kilometer (km) dengan catatan masa 2 jam 20 minit 19 saat sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM9,000.
Rakan senegaranya, Bernard Muinde Matheka memberi saingan sengit untuk muncul naib juara dengan mencatatkan 2 jam 21 minit 39 saat diikuti Edwin Kiptoo Yebei di tempat ketiga.
Sementara itu, Muhamad Haziq Hamzah muncul pelari terbaik Malaysia apabila berjaya menduduki tempat kelima dengan catatan 2 jam 45 minit 33 saat.
Kategori wanita juga menyaksikan penguasaan penuh Kenya apabila lima wakilnya menamatkan larian pada kedudukan teratas.
Gladys Jemeli Koech muncul juara dengan catatan 2 jam 57 minit 17 saat.
Sally Ann Yap Yu Ing pula menjadi pelari wanita terbaik Malaysia apabila menduduki tempat keenam dengan catatan masa 3 jam 24 minit 27 saat.
Selain maraton penuh, Kuching Marathon 2023 juga mempertandingkan tiga kategori lagi iaitu half marathon 21 km, larian 10 km dan fun run lima km.
Edisi kelapan penganjuran acara larian antarabangsa ini menyaksikan lebih 10 ribu peserta mengambil bahagian termasuk dari Brunei, Singapura, Vietnam, Kenya, Indonesia dan Hong Kong.
Majlis Penyampaian Hadiah dihadiri Timbalan Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Terdahulu, upacara flag off Kuching Marathon 2023 disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 1 pagi di hadapan Padang Merdeka. -TVS