HANGZHOU, 1 Okt: Kem terjun negara terus menuai kilauan pingat apabila giliran gandingan Nur Dhabitah Sabri-Wendy Ng mencuri tumpuan selepas menghadiahkan pingat perak dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita di sini hari ini.
Pada saingan final di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou itu, Nur Dhabitah-Wendy bermula baik pada terjunan pertama untuk berada di kedudukan kedua, namun dipintas gandingan Korea Selatan Park Hareum-Kim Suji selepas terjunan kedua.
Bagaimanapun, pasangan negara bangkit pada terjunan ketiga untuk kembali merampas posisi itu selepas mengumpul keseluruhan 152.40 mata berbanding Park-Kim dengan 144.48 mata.
Nur Dhabitah-Wendy kemudian konsisten mempertahankan kedudukan pada terjunan keempat dan kelima untuk menghadiahkan kilauan perak sulung kem terjun negara pada edisi kali ini selepas mengumpul keseluruhan 270.27 mata.
Emas menjadi milik gandingan juara dunia dari China Chen Yiwen-Chang Yani selepas mengumpul 335.73 mata sementara pasangan Korea Selatan terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa dengan mengutip 253.56 mata.
Pencapaian dilakar Nur Dhabitah-Wendy itu menyaksikan mereka berjaya mempertahankan perak yang dimenangi pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Ia juga merupakan pingat ketiga disumbangkan kem terjun negara pada temasya kali ini dan pingat kedua peribadi Nur Dhabitah selepas merangkul gangsa ketika berpasangan dengan Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama wanita, semalam.
Satu lagi gangsa diraih Malaysia semalam adalah menerusi gandingan Muhammad Syafiq Puteh-Ooi Tze Liang dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki. -TVS