SARIKEI, 1 Okt: Orang ramai yang berada di pekan ini pagi tadi digemparkan dengan berita penemuan mayat seorang lelaki di Jalan Wharf, belakang Kolej Komuniti Sarikei, di sini.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat itu pada 9.50 pagi.
Kata beliau, mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an.
“Mayat ditemui dalam keadaan terlentang serta berpakaian lengkap.
“Lelaki itu dipercayai terjatuh dari tingkat dua bangunan di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, pasukan perubatan Hospital Sarikei yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. -TVS