KUALA LUMPUR, 1 Okt: Jaringan penalti penyerang import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun berjaya membantu Kedah Darul Aman FC menang tipis menentang Kuala Lumpur City (KL City), 1-0 pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini semalam.
Aksi rancak disajikan kedua-dua pasukan sebaik perlawanan bermula menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang pelawat menerusi percubaan leret penyerang import Tchetche Kipre, namun diselamatkan penjaga gol lawan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi pada minit kesembilan.
Selang tujuh minit kemudian, penjaga gol KL City Muhammad Azri Ab Ghani pula bertindak cemerlang menafikan sepakan daripada jarak dekat Ifedayo.
Kedah yang dilihat mula menguasai perlawanan selepas 20 minit pertama sekali lagi hampir memperoleh gol pendahuluan menerusi rembatan deras tonggak tengah import dari Nigeria, Moses Atede yang ditampan Muhammad Azri pada minit ke-39.
Serangan bertali arus anak buah Nafuzi Zain membuahkan hasil apabila mereka dianugerahkan sepakan penalti yang disempurnakan Ifedayo pada masa kecederaan babak pertama untuk membuka tirai jaringan selepas rakan sepasukannya, Mohd Fadzrul Daniel Mohd Nizam dijatuhkan pemain pertahanan KL City Nazirul Naim Che Hashim.
Sang Kenari yang meneruskan momentum serangan sebaik babak kedua bersambung, berpeluang menggandakan jaringan, namun sepakan Ifedayo sekadar singgah di tiang kiri gol pada minit ke-59 berpunca daripada sepakan penjuru Amirbek Joraboev.
Kedah yang terus berusaha menambah lagi jaringan gagal berbuat demikian selepas tuan rumah berjaya menyerap segala tekanan dilancarkan oleh skuad utara tanah air itu sehingga perlawanan tamat.
Kemenangan juara dua kali Liga Super hari ini menyaksikan mereka mengutip 47 mata untuk kekal di tangga ketiga, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah kepada tujuh perlawanan, manakala kedudukan KL City pula tidak berganjak dari tangga ketujuh dengan 31 mata.
Sementara itu, penyerang dari Brazil, Rafael da Silva muncul wira Sri Pahang FC apabila jaringannya sudah cukup membantu pasukannya mengatasi Kuching City FC, 3-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
Terdahulu, tuan rumah membuka jaringan menerusi sepakan penalti Stefano Brundo pada minit ke-13 sebelum Kuching City menyamakan kedudukan hasil tandukan Pedro Henrique Cortes, selang dua minit kemudian.
Pada minit ke-25, giliran pelawat pula mendahului apabila penyerangnya Abu Kamara meledakkan gol kedua mereka, namun rembatan pemain tengah Kuvondik Ruziev kembali mengikat kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-42.
Bagaimanapun, jaringan cantik da Silva pada minit ke-61 menceriakan skuad kendalian Fandi Ahmad untuk mereka memintas Sabah FC dan berada di tangga keempat liga dengan 43 mata, manakala Kuching City pula kekal terperosok di tangga terbawah dengan tujuh mata. -TVS