KUCHING, 1 Okt: Lebih 16,000 umat Islam hadir meraikan Kembara Cinta Rasul Petra Jaya bersama pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad di Masjid Jamek Petra Jaya malam tadi.
Orang ramai mula memenuhi masjid berkenaan sekitar 6 petang untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah.
Ustaz Abdul Somad tiba sekitar 8.30 malam bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga merupakan Penasihat Program Kembara Cinta Rasul.
Kehadiran penceramah terkenal itu turut disambut dengan laungan selawat serta zikir oleh para jemaah sebagai memuliakan acara keagamaan tersebut.
Ustaz Abdul Somad menyampaikan ceramah bertajuk ‘Piagam Madinah, Asas Perpaduan Ummah’.
Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni,Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman serta Pengerusi Jawatankuasa Induk Program Kembara Cinta Rasul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim.
Program tersebut yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 September hingga 2 Oktober menampilkan pelbagai pengisian menarik kepada masyarakat di sekitar Kuching. -TVS