KUCHING, 1 Okt: Video sepasang suami isteri dari Sarawak membawa bagasi dalam keadaan cuaca panas ketika menghantar anak mereka mendaftar di Universiti Malaysia Pahang Al – Sultan Abdullah (UMPSA) Gambang, Pahang tular di Tiktok.
Video yang dimuat naik oleh akaun rasmi Tiktok UMPSA semalam sehingga kini meraih tontonan lebih 800 000 serta mendapat lebih 55 ribu tanda suka.
Berdasarkan penerangan video, pada mulanya pengendali akaun ini melihat sepasang suami isteri bersama dua anak perempuan sedang membawa bagasi berjalan menghampiri pintu masuk universiti itu.
@tvstvmy Video asal yang dimuat naik oleh akaun rasmi Tiktok UMPSA semalam sehingga kini meraih tontonan lebih 800 000 serta mendapat lebih 55 ribu tanda suka. Keluarga yang berasal dari Sarawak itu dilihat menghampiri pagar masuk universiti sambil membawa bagasi. Layari tvstv.my/news & tonton TVS Saluran 122 MYTV, Unifi TV & Astro. #TVS122 #TVSNews #TrendingNewsMalaysia #BeritadiTikTok
“Dari jauh nampak satu family ini jalan kaki tengah – tengah panas, ingatkan kereta rosak. Sedihnya tengok panas jalan kaki tolak beg di saat yang lain naik kereta,” tulis penerangan pada video itu.
Akaun rasmi itu menulis, selepas ditanya, keluarga berkenaan memaklumkan mereka dari Sarawak menaiki bas untuk menghantar anak mendaftar di UMPSA.
“Pihak UMPSA bergegas carikan kereta untuk mereka masuk ke dalam kampus.
“Hebatnya kasih ayah dan ibu teman anak masuk universiti,” akhiri catatan pada video berkenaan.
Membaca ruangan komen, seorang pengguna Yani berterima kasih kepada yang mendoakan keluarga ibu saudaranya itu.
“Terima kasih semua yang mendoakan yang baik dan pihak UMPSA untuk mak cik dan sepupu saya ini. Semoga dipermudahkan urusan dunia dan akhirat,”tulisnya. -TVS