KUCHING, 1 Okt: Pemilihan tema pada hari majlis perkahwinan sangat penting kerana ia meninggalkan sejarah manis kepada raja sehari.
Bagi pasangan pengantin Fathihatun Natrah Faisal dan Amir Aniq Asyraf Abdul Rahim, mereka memilih tema perkahwinan tradisional Melayu Klasik.
Ini kerana menurut mereka, adat dan tradisi kaum Melayu memiliki nilai estetika yang tinggi.
Bapa saudara pengantin lelaki, Hairoll Musa berkata, tema itu dipilih bagi memenuhi permintaan keluarga yang mahukan kelainan selain menghiburkan tetamu dengan persembahan tradisional yang jarang ditonton.
“Kami mahu mengangkat konsep klasik supaya budaya Melayu lama yang cukup unik tidak hilang ditelan zaman,” ujarnya.
Tetamu yang hadir pada majlis berkenaan juga sporting apabila memakai busana lengkap Melayu lama termasuk bercapal serta menggunakan kain songket dan keringkam.
Pasangan mempelai pula tampak anggun dan segak bergaya ketika diarak masuk ke dalam dewan sambil diiringi lagu Lemak Manis daripada Camar Band.
Majlis turut dimeriahkan dengan tarian zapin serta bacaan doa selamat dan selawat.
Upacara berkenaan juga menyaksikan pasangan pengantin direnjis dengan air mawar oleh ibu bapa mereka.
Selepas itu, menyusul pula upacara menyuap nasi temuan di mana kedua mempelai saling menyuap nasi kuning atau nasi minyak.
Majlis persandingan berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan oleh bintang lagenda RTM, Saffar Gaffar menerusi lagu Ros Kalas.
Antara persembahan yang menggamit memori pada majlis berkenaan adalah acara bermukun atau lebih dikenali sebagai nopeng bagi menyuburkan kembali irama asli sepanjang zaman.
Kemerduan bermukun semakin jelas dengan wujudnya gambus.
Dianggarkan lebih 1, 200 tetamu hadir pada Majlis Resepsi Fathihatun Natrah dan Amir Aniq Asyraf.-TVS