MARUDI, 30 Sept: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan reka bentuk Waterfront Marudi yang baharu lebih cantik berbanding tebingan sungai lain ketika merasmikan Regata Baram 2023 di Tebingan Sungai Marudi di sini, hari ini.
Abang Johari juga mengakui lokasi tebingan itu juga menjadi tumpuan orang ramai susulan terdapat projek pembinaan hotel baharu di bawasan berhampiran.
“Waterfront itu juga berdekatan dengan Kubu Hose, malah Waterfront Marudi baharu ini lebih panjang daripada Waterfront Kuching iaitu sebanyak satu kilometer,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari turut memberitahu bahawa kerajaan Sarawak akan mewujudkan makmal berkongsi di bahagian Marudi untuk pelajar yang belajar mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
Inisiatif berkenaan menurut beliau berikutan telah membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai isu kekurangan makmal sains di sekolah seluruh negeri.
“Kebanyakan sekolah di seluruh negeri tidak mempunyai makmal sains. Justeru, kerajaan Sarawak akan membina makmal berkongsi di setiap daerah dan Marudi bakal mendapat satu,” ujar beliau.
Pada masa sama, Abang Johari memberikan jaminan bahawa jalan raya dari Jalan Marudi ke Long Terawan bakal siap pada tahun 2030. – TVS