HANGZHOU, 30 Sep: Gandingan Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri memberikan permulaan memberangsangkan buat kem terjun negara pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Pandelela-Nur Dhabitah mengulangi pencapaian gangsa yang diraih Nur Dhabitah-Datuk Leong Mun Yee pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Pada final disertai lima negara di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou di sini, Pandelela-Nur Dhabitah gagal meneruskan rentak cemerlang di awal saingan untuk sekadar mengumpul keseluruhan 266.94 mata selepas lima terjunan.
Pasangan Juara Dunia 2023 dari China Quan Hongchan-Chen Yuxi menampilkan terjunan yang memukau penonton untuk pasukan tuan rumah meraih 375.30 mata sekali gus meraih emas.
Perak menjadi milik gandingan Jepun Matsuri Arai-Minami Itahashi dengan mengutip 290.04 mata.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara itu adalah memenangi perak menerusi Pandelela-Mun Yee pada edisi 2010 di Guangzhou, China.
Dalam pada itu, Muhammad Syafiq Puteh dan Ooi Tze Liang akan bergandingan dalam final 3m papan anjal seirama lelaki yang dijadual berlangsung 7.30 malam ini. -TVS