SIBU. 30 Sept: Kebakaran sebuah kilang penyimpanan makanan sejuk beku di Batu 6 ½, Lambir, di sini semalam dilaporkan mengalami kerugian mencecah lebih RM3 juta.
Menurut pemiliknya, Lee Chiu Seng, 42, kebakaran kilang yang dipercayai berpunca daripada litar pintas itu telah menyebabkan lebih 30 tan bekalan makanan laut dan peralatan hangus terbakar.
Menurutnya kejadian itu berlaku kira-kira 7 malam dan menyebabkan keseluruhan bangunan Kilang Soon Seng Sea Product yang beroperasi lebih 20 tahun itu hangus.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Ismaidi Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 7.10 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian, manakala api dapat dikawal dalam tempoh satu jam setengah kemudian.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan itu, pihak kami telah menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dan BBP Lopeng untuk menjalankan operasi pemadaman di lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, api telah memusnahkan 50 peratus daripada bangunan kilang berkeluasan 46 kali 88 kaki persegi.
“Operasi pemadaman terus dilakukan dengan berpandukan konsep RECEO dan pemadaman menggunakan satu aliran 400 kaki dua nozel dan pam angkut dari sumber air terbuka,” katanya ketik dihubungi TVS hari ini.
Menurutnya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah berjaya mengawal kebakaran pada jam 20.48 malam.
“Api dapat dikawal dalam tempoh hampir satu jam setengah malam dan kebakaran ini tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kehilangan jiwa,” ujarnya.
Operasi ditamatkan pada jam 12.43 tengah malam dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan Unit Penyiasatan Kebakaran JBPM Zon 6 Miri. -TVS