MARUDI, 30 Sept: Pembinaan hotel bertaraf tiga bintang di sini diyakini akan mmerubah wajah bandar ini setelah ia siap dibina menjelang 2026, kata Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Datuk Abdul Hadi Abdul Kadir.
Menurutnya, mercu tanda baharu Marudi itu juga akan menjadi salah satu tonggak penting dalam transformasi bandar Marudi untuk meningkatkan aktiviti ekonomi setempat.
“…Ia juga akan mencipta peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan,” katanya pada majlis pecah tanah hotel berkenaan di Dewan Suarah Marudi yang telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini pada Sabtu
Dalam pada itu, Abdul Hadi mendedahkan pihaknya belum menamakan hotel yang terletak di tapak lama Rumah Rehat Marudi yang menghadap pusat bandar di sini.
Sementara itu, menurutnya lokasi strategik itu adalah bersebelahan dengan Lapangan Terbang Marudi serta Fort Hose yang merupakan sebahagian daripada tapak bersejarah Marudi di Sarawak.
Tambahnya hotel berkenaan akan dibangunkan dengan reka bentuk gabungan unusr moden dengan sentuhan motif tradisional dan ukiran dari kumpulan etnik tempatan seperti Orang Ulu dengan matlamat untuk menggalakkan dan memelihara warisan tempatan.
Hotel bertaraf tiga bintang itu akan dilengkapi 90 bilik termasuk bilik superior, bilik keluarga, dan suite serta berkapasiti boleh menampung sehingga 500 orang.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, Pegawai Daerah Marudi Belayong Pok, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir serta dif-dif kehormat lain. – TVS