LIMBANG, 30 Sept: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bakal menampilkan calon daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi kerusi Jepak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 4 November depan.
Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu para pengundi di DUN Jepak agar memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon itu kelak.
Menurut beliau kemenangan bergaya perlu dilakar sekali lagi di Jepak demi meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan terbabit dan negeri ini.
“Saya harap, pengundi-pengundi akan memberi sokongan untuk mempastikan kejayaan yang besar untuk meneruskan usaha-usaha membangunkan kawasan itu (Jepak) dan negeri Sarawak itu sendiri,” katanya.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Perasmian Belia Lawas Excellent (BLX) Lawas Liga 2023 Tertutup Lawas di Padang Dataran Lawas, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, tegas Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak lagi Sarawak akan terus menolak budaya politik yang menyebarkan tohmahan dan kebencian.
Politik Sarawak menurut beliau menekankan kepada kestabilan yang menjadi kunci utama kepada pelaksanaan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.
“Kita tidak mahulah politik akhirnya membawa kepada perbalahan, apa yang kita tumpukan ialah politik yang menekankan kepada kestabilan dan dengan kestabilan itu kita dapat menumpu ke arah usaha untuk membawa pembangunan,” jelasnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawasm Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Latip, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa dan Pengerusi Pengelola Program, Steve Lius.
PRK DUN Jepak diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan susulan penyandangnya Datuk Talib Zulpilip yang meninggal dunia pada 15 September lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen bagi PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 21 Oktober sehingga pukul 11.59 malam, 3 November nanti. – TVS