Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof melawat Kompleks Kluster Koko Sarawak untuk mempelajari tentang rantaian pemprosesan koko. Foto: TVS

Coklat keluaran Sarawak raih jualan sebanyak RM69,000 pada 2022 – TPM Fadillah

KOTA SAMARAHAN, 30 Sept: Coklat keluaran Sarawak iaitu Magnificient Choc berjaya meraih jualan sebanyak RM69,000 pada 2022.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan hasil yang dijana Koperasi Koko Sarawak (3KQ) itu mampu meningkatkatkan pendapatan pemain industri koko di Sarawak melalui agihan pendapatan koperasi kepada semua ahli koperasi.

“Koperasi 3KQ melaksanakan beberapa aktiviti yang memberikan keuntungan kepada semua ahli-ahlinya seperti aktiviti jualan coklat magnificient sebanyak RM69 ribu telah diperolehi koperasi pada tahun 2022.

“Selain itu, koperasi 3KQ turut melaksanakan beberapa aktiviti lain seperti jual-beli biji koko kering, pemprosesan biji koko, penghasilan coklat blok dan pralin serta galeri jualan,” katanya pada program Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Kota Samarahan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi turut berkata coklat yang dihasilkan di Kompleks Kluster Koko Sarawak (Kompleks SARA CC) itu merupakan kompleks pertama di Malaysia yang berkonsepkan koko ‘from farm to table.

Ini kerana keistimewaannya merujuk kepada sumber biji koko tempatan diproses sehingga menghasilkan coklat ‘Single Origin Sarawak.’

“Pada tahun 2022, sebanyak 44 tan biji koko telah dibeli oleh koperasi yang bernilai RM314,024 dan sebahagian biji koko ini dijual semula ke kilang pengisar dan chocolatier di Semenanjung manakala sebahagiaan lagi diproses di Kompleks SARA CC untuk menghasilkan coklat jenama Magnificient Choc.

“Jumlah pengeluaran biji koko kering negara pada tahun 2022 adalah sebanyak 493 tan metrik manakala Sarawak mengeluarkan 20.7 peratus atau 102 tan metrik,” ujarnya.

Pada masa sama, satu produk aktiviti baharu iaitu komoditi-pelancongan (agro-pelancongan) serta lawatan sambil belajar turut diadakan dengan kerjasama Pejabat Residen Samarahan, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan agensi-agensi pelancongan di Sarawak selain pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mendedahkan cara pemprosesan rantaian koko bermula daripada tanaman sehingga ke produk siap coklat.

Majlis turut menyaksikan beberapa acara permeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara Lembaga Koko Malaysia dengan pihak industri dan koperasi kluster koko serta penyampaian sijil kepada 10 orang penerima Anugerah ‘Cocoa Excellence’ peringkat kebangsaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan