KUCHING, 29 Sept: Sarawak mencatatkan sebanyak 2,192 kes keganasan rumah tangga dari tahun 2020 hingga Ogos tahun ini, kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu mendedahkan rekod berkenaan diperoleh berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Seperti yang anda tahu, Sarawak adalah negeri yang besar walaupun dari segi kependudukannya yang tidak padat, namun kebolehcapaian masyarakat untuk pergi melapor kes tersebut agak sukar kerana wujudnya jarak yang jauh.
“Jadi, ia mungkin tidak menunjukkan data sebenarnya. Oleh sebab itu, pihak kami melaksanakan program berkaitan untuk memastikan mereka yang terkesan dalam kes keganasan rumah tangga akan pergi membuat laporan kepada pihak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Semarak Skuad Waja, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau memberitahu sebanyak 22,908 kes berkaitan direkodkan di seluruh negara sejak tahun 2020 sehingga Ogos 2023.
Nancy menambah Selangor dan Kedah merekodkan statistik keganasan rumah tangga yang tertinggi di Malaysia dalam tempoh berkenaan.
“Jadi, terdapat peningkatan kes yang tinggi pada tahun 2021 iaitu sebanyak 7,468 kes berbanding pada tahun 2020 yang mencatatkan sebanyak 5,260 kes.
“Pada tahun 2022, jumlah kes keganasan rumah tangga masih lagi tinggi walaupun menunjukkan sedikit penurunan kepada 6,540 kes.
“Tahun ini pula, sehingga Ogos, sebanyak 3,640 kes telah dicatatkan,” katanya.
Sehubungan itu, Nancy memberitahu, masyarakat sedia membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam masalah keganasan rumah tangga dan mengingatkan bahawa terdapat undang-undang di negara ini yang akan melindungi mereka.- TVS