KUCHING, 29 Sept: PUSAKA dan anak syarikatnya Sarawak Timber Association Mutual Sdn.Bhd menyalurkan dana kepada 11 buah sekolah di seluruh negeri.
Pengurus Besar PUSAKA, Zainal Abidin Abdullah berkata, sumbangan berkenaan merupakan salah satu inisiatif PUSAKA dan pihak industri perkayuan dalam membantu memperkasakan institusi pendidikan.
Menurutnya inisiatif berkenaan adalah tanggungjawab sosial korporat kepada sekolah daif terpilih yang memerlukan sumbangan dana.
Ujarnya, inisiatif itu amat bertepatan dengan dasar pendidikan kebangsaan dimana pihak kerajaan dan swasta berganding bahu dan berperanan dalam membangun dan meningkatkan tahap pendidikan dan sistem pelajaran berkualiti bagi sekolah-sekolah yang memerlukan dana tambahan di negeri Sarawak.
“Tujuan utama sumbangan ini adalah untuk membantu pihak sekolah menampung pembiayaan keperluan sekolah yang menerima kesan daripada aktiviti atau operasi pembalakan (logging effected areas).
“Selain itu ia akan meningkatkan semangat para pelajar dan pengajar untuk kecemerlangan sekolah serta membantu pihak sekolah untuk menjalankan pelbagai program akademik serta kokurikulum sekolah.
“Untuk makluman, setakat ini, jumlah sumbangan dana terkumpul yang telah disalurkan kepada semua sekolah-sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri Sarawak sejak tahun 2012 sehingga tahun 2019 ialah sebanyak RM1.5 juta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Kewangan STA Mutual SDN BHD dan PUSAKA di Dewan Seminar PUSAKA, Wisma Sumber Alam, pada Jumaat.
Tambah Zainal, sumbangan dana tersebut diurus oleh PUSAKA dan bertujuan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pembelajaran dan pengajaran di sekolah-sekolah berkaitan.
“Pada tahun 2016, kadar sumbangan telah ditingkatkan kepada RM4,000 untuk sekolah Menengah dan RM2,000 untuk sekolah rendah.
“Pada tahun 2020, polisi pengagihan telah ditambahbaik dengan hanya mengagihkan kepada sekolah daif yang berskala 6 dan 7 sahaja serta sekolah yang ditimpa bencana alam seperti kebakaran dan banjir.
“Polisi bersasar ini adalah bagi membolehkan dana yang berkurangan dapat diagihkan dengan lebih berfokus kepada sekolah-sekolah yang memerlukan,” katanya.
Antara 11 buah sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan Ulu Pelagus, Kapit, Sekolah Kebangsaan Kampung Buda, Betong, Sekolah Kebangsaan Camporan Daro, Mukah, Sekolah Menengah Kebangsaan Belawai, Tanjung Manis, Sekolah Kebangsaan Meranek, Kota Samarahan, Sekolah Kebangsaan Sungai Aur, Kuching, Sekolah Kebangsaan Puruh Karu, Pedawan, Sekolah Kebangsaan Bulan Jeragam, Sebuyau,Sekolah Kebangsaan Batu Bungan, Mulu, Sekolah Kebangsaan Santubong, Kuching, Sekolah Menengah Kebangsaan Santubong, Kuching dan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam Tempatan, UiTM Kota Samarahan.-TVS